

21
58. Berdasarkan takrifan UNESCO ini, jelas bahawa pendidikan
merupakan hak setiap individu di sesebuah negara. Tidak wajar
untuk mana-mana golongan dalam negara ini terpinggir daripada
menerima pendidikan hanya kerana perbezaan status sosial dan
kebolehan mereka.
59. Dalam agenda pendidikan inklusif ini, kita akan memberikan
tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan
memastikan golongan OKU, golongan B40, orang asli dan kanak-
kanak tanpa dokumen turut menerima pendidikan seperti murid
yang lain. Kita akan memastikan mulai tahun ini, pintu institusi
pendidikan akan terbuka seluas-luasnya kepada semua kanak-
kanak yang berhak.
60. Kementerian bertanggungjawab memastikan setiap OKU
menerima pendidikan sewajarnya. Antara usaha yang dilakukan
adalah menyediakan kemudahan mesra OKU secara berperingkat
di sekolah, bermula dengan Sekolah Pendidikan Khas dan Program
Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dan meningkatkan kerjasama
antara Kementerian, syarikat korporat dan NGO berhubung
penyediaan perkhidmatan pendidikan khas.
61. Mulai tahun ini juga, Kementerian telah melaksanakan Dasar
Sifar Penolakan
(Zero-reject Policy)
secara menyeluruh bagi Murid
Berkeperluan Khas (MBK). Ini bagi memastikan tiada murid dalam
kalangan OKU yang dinafikan daripada memasuki alam
persekolahan. Langkah ini diambil bagi memastikan golongan ini
mendapat hak pendidikan yang sama seperti murid yang lain dan
mengelakkan isu keciciran pendidikan dalam kalangan OKU.