

54
Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2011 - 2015
Setiap institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan siswazah
yang berkebolehan yang bersedia ditempatkan di sektor pekerjaan sama ada di pasaran tempatan atau
antarabangsa. Isu-isu yang berkaitan dengan kebolehdapatan kerja siswazah sentiasa berkait rapat dengan
kebolehpasaran dan kemahiran siswazah. Menyedari hakikat ini, KPT telah mengambil beberapa langkah
strategik bagi memastikan siswazah yang dihasilkan oleh IPT di negara ini mempunyai kualiti dan ciri-ciri yang
diperlukan oleh pasaran kerja. Selain menyediakan peluang pengajian tinggi kepada semua golongan yang
berkelayakan, KPT juga bertanggungjawab memastikan setiap siswazah yang dihasilkan mempunyai nilai
kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja yang tinggi.
Bagi mencapai hasrat tersebut, KPT telah meletakkan kebolehpasaran siswazah sebagai salah satu daripada
Projek Agenda Kritikal dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) pada tahun 2007.
Rumusan Status Fasa 1
Pelaksanaan PSPTN Fasa 1 melihat kepada usaha-usaha peletakan asas beberapa program bagi mencapai
hala tuju transformasi pengajian tinggi. Bagi CAP Kebolehpasaran Siswazah, pelaksanaan PSPTN Fasa 1 melihat
kepada indikator bagi menilai kebolehpasaran siswazah dan sasaran peratus yang perlu dicapai. Bidang
tumpuan CAP dalam pelaksanaan Fasa 1 PSPTN ialah meningkatkan kebolehpasaran siswazah dengan
memastikan sekurang-kurangnya 75% siswazah memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan setelah
menamatkan pengajian.
Bagi mengkaji secara berterusan penerimaan para siswazah ke dalam pasaran kerja, KPT telah mewujudkan
satu sistem pengukuran yang bersesuaian dan versatil bagi melaksanakan kaji selidik terhadap graduan
yang bakal menamatkan pengajian di IPT di negara ini. Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) telah
mula dilaksanakan sejak tahun 2006 dan membekalkan fakta dan maklumat mengenai status dan pekerjaan
graduan baru. Kajian Pengesanan Graduan merupakan satu kajian tahunan untuk mengesan destinasi
pertama graduan selepas menduduki peperiksaan pada tahun akhir sehingga tarikh menghadiri majlis
konvokesyen, iaitu lazimnyadalam lingkungan tigahinggaenambulan selepas tamat pengajian. Objektif kajian
adalah untuk meninjau tahap kebolehdapatan kerja dan kebolehpasaran
(employability and marketability)
siswazah, mendapat pandangan dan persepsi siswazah terhadap program akademik, sistem pengajian dan
kemudahan prasarana di IPT masing-masing serta mewujudkan pangkalan data para siswazah IPT.
Peratusan kebolehpasaran siswazah mencapai dan melebihi sasaran 75% mulai tahun 2008 hingga 2010. Bagi
tahun 2010, pencapaian kebolehpasaran siswazah pada peringkat KPT adalah sebanyak 75.4 %. Peratusan ini
merangkumi semua graduan yang dihasilkan oleh IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti.