

78
Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2011 - 2015
PTPTN ditubuhkan dengan objektif untuk memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar
yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat Kerajaan bahawa tidak
ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab kewangan.
Untuk menjamin akses kepada pendidikan tertiari, pelbagai agensi telah menyediakan bantuan kewangan
seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Tunku Abdul Rahman
(YTAR), Petronas, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional dan Khazanah Nasional serta Yayasan/Kerajaan Negeri.
Namun, PTPTN merupakan sumber pembiayaan terbesar kepada pelajar yang memasuki IPT.
Enrolmen pelajar di IPT semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2020, enrolmen pelajar dijangka
meningkat kepada 2,267,800 orang. Ini berasaskan kadar pertumbuhan tahunan purata di peringkat sijil
sebanyak 6 peratus, 5.5 peratus pada peringkat diploma, 4 peratus pada peringkat ijazah pertama dan
10 peratus pada bagi peringkat sarjana dan PhD untuk IPTA dan IPTS. Peningkatan yang lebih besar bagi
pengajian pada peringkat sijil dan diploma berbanding dengan ijazah pertama adalah untuk memperoleh
nisbah antara kedua-duanya pada kadar 2:1. Nisbah ini adalah untuk menyokong matlamat kerajaan bagi
menambah bilangan pekerja separa mahir atau separa profesional atas pertimbangan kebolehpasaran serta
keperluan negara dan menggalakkan pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Sementara itu,
peningkatan yang ketara bagi peringkat pascasiswazah adalah untuk menyokong dasar kerajaan dalam
pembangunan modal insan ke arah menambah bilangan siswazah PhD terutamanya di IPT dan institusi
penyelidikan bagi mengembangkan bidang penyelidikan serta inovasi.
Seiring dengan pertambahan bilangan enrolmen pelajar ke IPT, bilangan pinjaman PTPTN juga semakin
meningkat. Pada tahun 1997, semasa PTPTN ditubuhkan, bilangan pinjaman yang diluluskan ialah sebanyak
11,956 dengan komitmen pembiayaan sebanyak RM219 juta. Bilangan pinjaman semakin bertambah pada
setiap tahun di mana sehingga tahun 2010, sejumlah 1.7 juta pinjaman telah diluluskan dengan peruntukan
sebanyak RM37.4 bilion. Daripada komitmen pembiayaan tersebut, sebanyak RM24.9 bilion telah dikeluarkan
untuk membiayai pengajian pelajar di IPT. Manakala jumlah bayaran balik yang diterima ialah RM2.2 bilion
iaitu 49% daripada jumlah keseluruhan yang patut diterima (RM4.5 bilion).
Trend penajaan menunjukkan 70% dari keseluruhan penajaan pinjaman/pembiayaan pendidikan negara
adalah dibiayai oleh PTPTN. Menjelang tahun 2020, defisit pembiayaan pendidikan dijangka meningkat
sehingga RM46 bilion. Antara faktor yang telah dikenal pasti menyumbang kepada defisit tersebut adalah:
•
Peningkatan kemasukan pelajar ke IPT pada kadar 10 peratus.