

79
Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2011 - 2015
•
Ketidakselarasan tempoh bayaran balik pinjaman dana (lima hingga sepuluh tahun) dengan
bayaran balik pembiayaan (lima hingga 20 tahun).
•
Bayaran balik yang rendah disebabkan pembayar tidak membuat pembayaran ansuran
bulanan yang sebenar.
Akses pengajian tinggi mempunyai kaitan yang rapat dengan isu kelestarian PTPTN. CAP Aksesibiliti dan
Kelestarian yang berkait rapat dengan teras PSPTN “Meluaskan Akses dan Meningkatkan Ekuiti” memberi
tumpuan kepada usaha untuk memastikan PTPTN terus berupaya menyumbang kepada pembangunan
modal insan negara melalui pembiayaan pendidikan pelajar pada peringkat tinggi.
Bagi Fasa 1, empat objektif strategik telah dirangka iaitu:
•
Memastikan semua pelajar yang layak mendapat pembiayaan melalui pemantapan
pengurusan pembiayaan pendidikan
PTPTN perlu menyediakan dana pembiayaan pendidikan yang mencukupi selaras dengan
objektif penubuhannya. Fokus objektif ini ialah untuk mendapatkan pembiayaan dari institusi
kewangan bagi membolehkan PTPTN membiayai pelajar di IPT.
•
Meningkatkan bayaran balik pembiayaan
Bayaran balik yang diterima daripada peminjam merupakan sebahagian daripada sumber
dana pembiayaan pendidikan yang akan digunakan semula untuk membiayai peminjam
baru dan peminjam sedia ada. Sehubungan itu, prestasi bayaran balik perlu dipantau dan
dipertingkatkan demi kepentingan pendidikan generasi akan datang.
•
Memastikan tawaran pertukaran pinjaman sedia ada kepada pembiayaan berkonsepkan
Ujrah diselesaikan pada tahun 2011
Majlis Fatwa Kebangsaan pada 28 Julai 2008 telah bersetuju dengan cadangan PTPTN untuk
melaksanakan pembiayaan pendidikan berlandaskan Syariah melalui kaedah
Ujrah
(Upah).
Dianggarkan seramai 1.2 juta peminjam sedia ada terlibat dengan pertukaran kepada
kaedah ini.
•
Memantapkan semula Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)
SSPN adalah merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh PTPTN
bagi tujuan pendidikan tinggi. Ia akan dapat mengurangkan beban Kerajaan untuk
menyediakan dana pendidikan dan subsidi kos dana pendidikan. Selain itu, kutipan deposit
SSPN juga diguna pakai untuk dana pembiayaan pendidikan.