

5
Para graduan UPNM iaitu Pegawai Kadet yang berjaya menamatkan pengajian akan
ditauliahkan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai Leftenan Muda atau setaraf.
Manakala bagi Pelajar Awam iaitu PALAPES yang berjaya menamatkan pengajian akan
membolehkan mereka memasuki perkhidmatan kerajaan bukan sahaja sebagai Pegawai
Tadbir dan Diplomatik tetapi juga dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang lain terutamanya
perkhidmatan beruniform seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan
Imigresen Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan sebagainya. Selain itu, mereka juga dapat
menyumbang dalam memenuhi keperluan sumber manusia di sektor korporat.
UPNM juga berperanan ke arah menyokong modenisasi Angkatan Tentera Malaysia melalui
membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R &D), sama ada asas atau aplikasi dalam
aspek pertahanan dan keselamatan serta membangunkan industri pertahanan negara. Ia juga
memainkan peranan sebagai ‘think tank’ dalam aspek pertahanan dan keselamatan.
Sehingga kini, UPNM telah meraih beberapa kemenangan dalam pameran penyelidikan yang
diadakan dalam negara dan di peringkat antarabangsa. UPNM komited dalam
membangunkan modal insan dan teknologi untuk memenuhi keperluan industri pertahanan
dan keselamatan negara.
UPNM kini menawarkan 34 program Doktor Falsafah dan Sarjana, 13 Ijazah Sarjana Muda
dan empat Program Asasi. Program-program tersebut ditawarkan di bawah empat buah fakulti
dan dua buah pusat seperti berikut:
1. Fakulti Kejuruteraan (FKJ)
2. Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan (FSTP)
3. Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP)
4. Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan (FPKP)
5. Pusat Asasi Pertahanan (PAP)
6. Pusat Bahasa (PB)
UPNM juga mempunyai Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) yang
bertanggungjawab mengurus semua aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh ahli akademik
Universiti dan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) berperanan menguruskan permohonan
pengajian peringkat siswazah.