Friday, October 18, 2024

Ucapan Naib Canselor 2015

Salam Sejahtera dan Salam 1UPNM,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta`ala dan setinggi-tinggi syukur dipanjatkan ke hadratNya kerana dengan limpah kurnia, izin serta inayahNya jua, maka Laporan Penilaian Kendiri, Audit Autonomi UPNM ini dapat dizahirkan. Ucapan syabas dan tahniah juga kepada seluruh warga UPNM yang telah memberikan komitmen sepenuhnya dalam penyediaan laporan ini, khususnya kepada Jawatankuasa yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
 
Saya mewakili seluruh warga UPNM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia kerana memberikan peluang kepada UPNM untuk turut serta dalam Audit Kesediaan bagi mendapatkan autonomi mengurus tadbir universiti dengan lebih berkesan. UPNM amat berbesar hati dan secara positif melihat peluang ini sebagai pengukur dan indikator kepada kesediaan UPNM untuk memperoleh status autonomi penuh, sekaligus menilai tahap semasa keberkesanan operasi universiti secara menyeluruh.
 
Amalan tadbir urus terbaik merupakan tonggak utama dalam memastikan kelangsungan pembangunan dan keberkesanan sesebuah organisasi. Dalam persekitaran ekosistem universiti, amalan urus tadbir terbaik akan dapat memberikan jaminan bahawa peranannya sebagai sebuah gedung ilmu diperkukuh seiring dengan kehendak dan harapan pemegang taruh, masyarakat dan negara. Pelbagai aspek dalam semua peringkat pengurusan diperkukuh bagi memastikan universiti mencapai piawaian dunia, dinamik, proaktif, berkualiti dan berinovasi serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa kini.
 
Selain itu, UPNM memegang amanah dalam melaksanakan mandat yang telah diberikan oleh pemegang taruhnya iaitu Kementeian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Dalam menyuntik sinergi baharu seiring dengan keperluan semasa, barisan kepimpinan Universiti amat menekankan penerapan amalan tadbir urus yang merangkumi sistem nilai berdasarkan kebertanggungjawaban, ketelusan, amanah, akauntabiliti dan responsif dalam urusan pentadbiran harian.
 
Secara umumnya, laporan ini terbahagi kepada tiga (3) bahagian yang mengandungi maklumat amalan tadbir urus yang dipraktikkan di UPNM. Bahagian pertama merangkumi maklumat berkenaan profil universiti, manakala bahagian kedua akan memperincikan maklumat berkenaan tadbir urus institusi (governans), kewangan, sumber manusia dan tadbir urus akademik. Bahagian terakhir pula akan memperincikan laporan penilaian audit kendiri yang telah dilaksanakan oleh UPNM.
 
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ketua-ketua dan ahli-ahli jawatankuasa kerja yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam penyediaan laporan ini. Saya berharap agar laporan ini dapat dijadikan bahan rujukan bukan sahaja kepada pihak juruaudit, tetapi juga kepada seluruh warga UPNM agar penambahbaikan tabdir urus Universiti dapat dilakukan dari semasa ke semasa demi kemajuan organisasi.
In Shaa Allah.
Sekian dan salam hormat.
 
“KEWAJIPAN, MARUAH, INTEGRITI”
 
TAN SRI DATO’ SERI PANGLIMA HJ. ZULKIFLI BIN HJ. ZAINAL ABIDIN
Jeneral
Naib Canselor